Nanas (Ananas comosus) sejenis tanaman tropika dari keluarga Bromelioaceae yang dipercayai berasal dari Bahagian Timur Amerika Selatan. Nama lain nenas adalah Nanas, Nenas, Pineapple (English), pina (Spanish), ananas (Argentina), anaasa (Telugu India)
dan sebagainya. Sejarah Nenas telah diperkenalkan di Tanah Melayu pada
abad ke 16 oleh orang-orang Portugis dimana ini selaras dengan
perkembangan tanaman getah, pada tahun 1921 nanas mula ditanam di
Singapura, Johor dan Selangor sebagai tanaman kontan. Tanaman nenas
terus berkembang dan diusahakan secara perladangan di kawasan tanah
gambut terutamanya di Johor. Penulis terlibat dengan projek tanaman
nenas ketika bertugas di Muar dengan membangunkan dan memberi khidmat
nasehat teknikal lebih 300 hektar ladang nenas di Mukim Air Hitam dan
Mukim Sg Balang. Artikel ini ditulis untuk share maklumat mengenai
tanaman nenas dengan pembaca. Industri nenas di Malaysia kini di terajui
oleh Lembaga Perusahaan nenas malaysia (LPNM). Jabatan Pertanian
mungkin masih relevant dalam pembangunan tanaman nenas terutama
penanaman kawasan baru dan Tanah Terbiar di Johor. Artikel ini mengenai teknologi tanaman nenas untuk dijadikan bahan rujukan dan bacaan.
Malaysia
merupakan salah satu negara pengeluar utama nanas dunia selain daripada
Thailand, Filipina, Indonesia, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Brazil,
Taiwan, Australia, India dan Afrika Selatan. Pada tahun 2008 FAO
menyenaraikan pengeluaran nenas dalam negara di Malaysia menduduki
Ranking ke 8 mengikut nilai USD 69,620 dan ke 10 mengikut pengeluaran
selepas Minyak sawit (1) dan getah (2). Buah nanas yang dikalengkan
mempunyai pasaran yang tinggi di negara-negara seperti Jepun, Amerika
Syarikat, Negara-Negara Kesatuan Ekonomi Eropah, Asia Barat dan
Singapura. Terdapat seluas 16,850 hektar tanaman nenas akan ditanam pada
tahun 2010 dengan anggaran pengeluaran sebanyak 416,070 metrik tan.
Negeri Johor merupakan nageri paling luas dengan tanaman nenas terutama
di daerah Pontian (3,686 ha), Daerah Kluang (2,950 ha) dan Daerah Muar
(1,266 ha) secara komersial dan pekebun kecil. Buah
Nanas mempunyai kandungan Vitamin C yang tinggi yang amat diperlukan
untuk kesihatan dalam membantu dalam usahaa untuk menyembuhkan luka atau
cedera di samping mampu penyerapan zat besi ke dalam saluran darah.
Kandungan Vitamin B di dalam buah nanas terutamanya B1 (thiamin)
berfungsi dalam membantu proses penghadaman dan melicinkan proses
pencernaan dalam usus manakala Vitamin B3 (niacin) bersama kandungan
kabohidratnya dapat mengawal sistem penghadaman agar sentiasa sihat.
Kandungan potassium bersama-sama sodium di dalam buah nanas dapat
mengawal imbangan air dalam tubuh manusia. Buah
nanas juga mengandungi sejenis enzim yang sangat berguna di dalam
sektor perubatan iaitu enzim Bromelin di mana ianya digunakan dalam
meluas semasa pembedahan di dalam mengawal pembengkakkan, jangkitan dan
menghalang berlakunya pembekuan darah.
Malaysia terkenal dalam menghasilkan nanas kaleng yang berkualiti dengan warna kuning keemasan.
Buah Nanas Malaysia mempunyai ciri-ciri yang berlainan daripada pesaing
dan berpotensi untuk dipertingkatkan mutunya. Pada masa ini 95%
daripada pengeluaran nanas kaleng adalah untuk pasaran eksport dan
lebihan 5% adalah untuk pasaran domestik manakala nanas segar
menyumbangkan 3% untuk pasaran eksport dan 70% untuk pasaran domestik
Singapura merupakan pasaran eksport tradisi bagi nenas segar dan diikuti
oleh Asia Barat. Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Brunei dan Hong
Kong. Penanaman
Nenas di tanah Gambut perlukan saliran berupa peparitan perlu dibina
dahulu bagi tujuan menurunkan paras air yang sememangnya keadaan tanah
gambut di Malaysia selalunya menakung air. Parit utama beukuran 1.5m x
1.2 m x 1.2 m perlu di gali begitu juga dengan parit kedua (1.2 mx 0.9m x
0.9m) dan parit sokongan (0.9 mx 0.9mx 0.6 m). Saliran yang berlebihan
pula akan mempercepatkan proses kesusutan mengakibatkan tanah kekeringan
berterusan. Pertumbuhan pokok akan terganggu.
Menebang dan Pembersihan Kawasan perlu dilakukan dalam musim panas, 3-4
bulan kemudian kayu akan kering. Pembinaan Jalan & Lorong dibuat
dengan kerja mengumpul kayu-kayu besar dipotong 5m panjang, disusun
melintang di atas jalan-jalan cadangan sebagai pelapik penyokong.
Batu-batu laterit dimampatkan setebal 10-20cm melapisi atasnya. Kemudian
sediakan lorong-lorong dibina daripada lapisan laterit setebal 10-20 cm
dan selebar 3-4m. Pokok
nenas boleh ditanam daripada bahagian tampangnya seperti jambul, sulur
tangkai, sulur udara atau sulur tanah. Pilih benih dari pokok induk yang
mempunyai ciri-ciri seperti pokok sihat dan subur, berbuah besar (Foto sebelah),
bertangkai pendek dan tegap serta berjambul tunggal. Kecekapan dalam
pemilihan benih akan meningkatkan hasil sehingga 10-15%. Pengambilan
Benih dengan mengutip benih setelah mencapai saiz 30-60 cm (1'-2')
panjang iaitu lingkungan dari tarikh memetik. Benih dikelaskan mengikut
saiz Kecil (30 cm), Sedang (45 cm) dan Besar (60 cm). Apabila
perlu disimpan benih sebelum ditanam maka langkah-lanhkah penyimpanan
perlu dituruti bagi mengelakkan kerosakan dan musnah pada benih tanaman.
Saya dapati kaedah ini kurang difahami oleh petani yang baru
mengushakab nenas. Benih-benih perlu disusun selapis dengan kedudukan
bahagian pangkal diterbalikkan ke atas. Pastikan benih disimpan di
tempat yang bernaung dan yang penting pastikan penyimpanan benih tidak
melebihi 1 bulan. Kalau benih banyak mati maka kos akan meningkat untuk
beli benih dan kerja sulaman.
Sebaiknya buat Rawatan Benih untuk pembasmian serangga atau kulat
dimana benih dicelupkan ke dalam larutan racun serangga atau kulat.
Racun serangga digunakan ialah 24ml Malathion dicampur dengan
18l(4gelen) air bersih dan racun Kulat jenis Benlate 75C. Kepadatan
tanaman nenas sangat bergantung kepada objektif perlaksanaan projek,
jenis baka dan sistem penanaman. Pada umumnya, kepadatan tanaman tunggal
bagi setiap baka ialah 43,500 pokok/ha atau 17,424 pokok/ek dengan
jarak tanaman 90cm x 60cm x 30cm(3'x2'x1'). Bagi sistem Tanaman
kepadatan tinggi, > pokok/ha (20,000pokok/ek) memenuhi keperluan
peningkatan hasil.
Kayu
pancang berentangkan tali atau dawai digunakan sebgai penanda barisan.
Tali atau dawai itu berbubuh tanda bagi pengukuran jarak tanaman
sepanjang barisan. Kayu tugal ditugalkan untuk membina lubang tanaman
sepanjang rentangan tali. Kedalaman lubang 10-15cm(4-6 inci) adalah
disesuaikan dengan saiz benih 30-60cm (1'-2')panjang. Tanam sulur
bersaiz sama di petak yang sama. Satu sulur untukl satu lubang, tanah
disekelilingnya dipijak agar sulur berdiri tegak. Laksanakan kerja
menanam nenas penanaman pada musim lembab. Kaedah
Pengawalan rumpai dikawasan nenas dilaksanakan secara manual iaitu
dengan tangan, mencabut, memotong, menajak dan sungkupan atau dengan
kawalan kimia dengan menyembur racun herba yang berbagai jenama
memerlukan pemilihan yang sesuai dengan langkah kawalan yang diambil.
Gunakan racun Paraquat 50-100ml/18 liter air untuk memusnahkan rumput
rencam atau Racun Glyphosate 80-100ml liter air untuk lalang. Jika perlu
diulang lagi 4-6 minggu kemudian. Bagi
pengawalan Rumpai Sebelum Tanam perlu gunakan racun rumpai pracambah
dan disemburkan merata di permukaan tanah. Antara racun disyorkan ialah
KROVAR 1 (120 gm/18 liter air / 2kali semburan) atau GESAPAX (120 gm/ 18
liter air) atau jenama lain2 seperti COMBI 80, DIRAN, DIURON, KARMEX
dan KIMEX. Bagi
tanaman nenas pembajaan adalah sangat penting dimana satu formulasi am
baja, jadual dan kadar pembajaan untuk tanaman nanas di atas tanah
gambut telah ditentukan. Terdapat du ajenis formulasi pembajaan iaitu
Formulasi Pembajaan Semburan dan Formulasi Pembajaan Tabur. Bagi
formulasi baja semburan larutan BS-1 dan larutan BS-2 digunakan (Larutan
mengandungi Kapor Terhidrat, Zink Sulfat, Kuprum Sulfat dan Fe Sulfat)
serta Urea. Larutan ini disembur pada tanaman nenas. Bagi
Formulasi Pembajaan Tabur digunakan Baja campuran nanas (BCN) berunsur
NPK dalam nisbah 30 : 1 : 32 adalah sesuai untuk tanaman nanas berbagai
kultivar di atas gambut. Keperluan BCN oleh pokok setiap kali pembajaan
ialah 14g/pokok. Sepusingan hayat, tanaman nanas BCN diperlukan sebanyak
42g/pokok. Formulasi tersebut ialah Ammonium Sulfat(SA) – 72 kg ,
Christmas Island Rock Phosphate(CIRP) – 1 kg dan Muriate of Potash(MOP)
27 kg.
Pokok
nenas perlukan proses ARUHAN PEMBUNGAAN (Menghormon) walau pun Pokok
nanas dalam keadaan biasa mengalami pembungaan sendiri pada 12-18 bulan
selepas ditanam. Beberapa faktor alam sekitar seperti suhu, jangka masa
siang hari dan banyaknya sinaran matahari mampu merangsang pengaruhan
bunga semula jadi. Kadar pertumbuhan tampang yang cepat kesan rangsangan
pembajaan nitrogen yang berlebihan, pengairan atau hujan akan
menghalang pembungaan. Nanas merupakan tanaman yang peka terhadap
bahan-bahan kimia pengawalatur pertumbuhan. Penggunaan
Hormon Pembungaan dengan Pil NAA sebanyak 1 biji/pokok yang dimasukkan
tepat ke dalam pucuk nanas sering dibuat oleh petani dan merupakan
kaedah yang paling mudah. Kaedah lain ialah dengan menggunakan Cecair
NAA (Planofix) iaitu sebanyak 4.5ml Planofix / 18 l air dan sembur 50
ml larutan atau dituangkan ke tengah-tengah setiap pokok. Kaedah ketiga
ialah dengan menggunakan Ethephon (Etherel) sebanyak 30 ml ETHEREL
campur 180 g Urea dan 18 l air dimana sebanyak 40-50 ml larutan setiap
pokok. Sembur atau dituangkan ke tengah-tengah pucuk atau semburkan
seluruh pokok. Cara keempat ialah dengan gunakan Asetilena (Kalsium
Karbaid) iaitu sebanyak 200g Kalsium Karbaid + 18 l air yang diguna
sebanyak 50 ml larutan sepokok dan disemburkan atau dituangkan ke
tengah-tengah pucuk pokok.
Perlu diketahui bahawa Masa Aruhan palig disyorkan ialah pada Waktu
malam leh itu petani lazim menjalankan mengikut kesesuaian iaitu pada
awal pagi dan lewat petang. Ciri Kesesuaian Pokok untuk aruhan mestilah
Pokok yang sihat dan subur, Mempunyai 35-40 daun segar yang berfungsi
dan 1 bulan selepas pembajaan. Kejayaan aruhan pembangunan dinilai
melalui peratus pembangunan yang terjadi selepas 45 - 60 hari aruhan
diberikan. Pengiraan peratus pembangunan dilakukan apabila pucuk pokok
nanas telah mengeluarkan permulaan bunga berwarna merah. Terdapat
kaedah untuk memanipulasi saiz buah dengan penggunaan
2-(3chlorophenoxy) propionic acid atau ringkasnya CPA (3-CP) ialah
sejenis kimia hormon untuk mengaruh pertumbuhan buah khusus untuk
kv.gandul. Contoh hormon ini dalam pasaran ialah FRUITONE CPA. Tujuan
Penggunaan hormon ini adalah untuk Meningkatkan saiz buah, Membantutkan
tumbesaran jambul lantas menggiatkan tumbesaran buah, Mengeraskan kulit
buah bagi mengelakkan kecederaan semasa punggah dan angkut ke kilang dan
Memampatkan isi nanas untuk ketahanan daripada kecederaan. Kadar
Penggunaannya ialah sebanyak 1 ml CPA (3-CP) + 1 liter air 2. 50 ml larutan setiap biji dengan menyemburkan keseluruhan bahagian buah sewaktu bunga-bunga telah habis layu.
Pada umumnya buah nanas akan mula boleh dituai apabila buah-buah
tersebut masak dengan memperlihatkan ciri-ciri kemasakan terutama warna
kulitnya. Pastikan memetik mengikut Indeks kematangan iaitu satu
petunjuk yang merujuk kepada perubahan warna kulit yang turut sama
merubah ciri dalaman isi buah dan paras kandungan gula asid. Bagi Indeks
Kematangan (Nanas Gandul) terdapat 3 ciri iaitu Warna kelopak mata
(baktea) bertukar daripada kemerah-merahan kepada putih layu atau Warna
bebuah (fruitlet) berubah daripada kemerah-merahan kepada perang
kehitaman atau Diantara 146-152 hari selepas tarikh aruhan pembungaan.
Penuaian yang lewat akan menjejaskan mutu buah. Apabila 25% bebuah
berwarna kuning isi buah telah mulai fermen dan tidak lagi sesuai untuk
kalengan. Bagi
Indeks Kematangan Pelbagai Kultivar Nanas Segar, Nenas Sarawak/N36
apabila Buah Muda mempunyai Warna Kulit Hijau Tua dan isi putih; Buah
masak kulit bahagian pangkal kuning dan isi buah yang kuning pucat.
Indeks kematangan boleh dirujuk kepada risalah MPIB atau FAMA. Teknologi
tanaman nenas diperbaiki setiap masa untuk mempastikan industri ini
berterusan di Malaysia. Wasallam!
#BertaniUntukBerbakti
Tiada ulasan:
Catat Ulasan